Assalamualaikum semua..
Percutian hari ke empat kami diteruskan dengan tour sekitar bandar Taipei dengan menggunakan Sightseeing Bus Hop On Hop Off. Taipei merupakan bandar yang agak tenang berbanding Kuala Lumpur dan bangunan pencakar langitnya tidaklah banyak seperti Kuala Lumpur dan Singapura. Walaupun demikian, Taipei mempunyai Bangunan Taipei 101 yang pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia selama enam tahun sebelum gelaran itu dirampas oleh Burj Khalifa di Dubai pada tahun 2010.
|
The Iconic Taipei 101
|
|
Atas bas sightseeing..bukan main lagi gaya diva kecik..hahaha...
|
Perjalanan kami pada hari itu berjalan lancar kerana jalan sangat lengang pada hari Ahad. Mungkin ramai yang ke luar bandar untuk bercuti makanya hari Ahad merupakan hari yang tepat untuk mengelilingi bandar Taipei. Manakala untuk ke luar bandar ke tempat-tempat tarikan utama adalah dinasihatkan untuk pergi pada weekdays. Kami membeli tiket Bus Sightseeing dengan menggunakan aplikasi Klook dan berharga RM122 untuk dua orang untuk tempoh masa 9 jam. Kami menunggu bas ini di MRT Taipei Main Station Exit M4. Kami hanya menaiki red line kerana laluan red line lebih menarik dan banyak tempat persinggahan. Pada pusingan pertama kami langsung tidak turun dari bas kerana kami ingin meninjau semua tempat persinggahan yang menarik untuk kami turun masa second round nanti. Selepas sampai ke perhentian terakhir kami kembali beratur di Exit M4 untuk menaiki bas untuk second round dan kami memilih untuk turun di CKS Memorial Hall, Daan Forest Park kerana kami mahu ke Grand Mosque Taipei serta mahu lunch di Indonesian Restaurant dan akhir sekali kami turun di Taipei 101.
CKS Memorial Hall memang cantik dan terdapat juga taman di dalam kawasan memorial tersebut. Kami cuma menghabiskan masa selama 20 minit di situ untuk mengejar bas yang seterusnya. Jangan risau kerana bas akan tiba tepat pada masanya mengikut jadual yang telah ditetapkan. Kami ke Daan Forest Park dan melalui kawasan taman yang luas itu untuk ke Royal Restaurant Indonesian Food yang berada di sebelah kiri masjid kalau dilihat dari arah Daan Forest Park. Kami berjalan lebih kurang 650 meter dari pintu masuk Daan Forest Park untuk sampai ke Royal Restaurant tersebut. Rasa senang sangat hati ini bila dapat makan nasi dan lauk pauk yang kena dengan selera Melayu kami ini. Dalam restoren ini juga terdapat banyak kerepek-kerepek serta keropok untuk kami beli bagi bekalan mengunyah cik diva kecik kami untuk hari tersebut dan hari esok untuk ke Yilan yang agak jauh jaraknya dari bandar Taipei. Dia kalau sibuk mengunyah sambil tengok kartun makanya dia tidak buat perangai sangat dan duduk elok-elok di carseat.
Selepas selesai lunch, kami mengambil kesempatan ke Grand Mosque dan menunaikan solat di situ. Terdapat satu pasangan baru berketurunan Indonesia baru selesai menjalankan upacara pernikahan di situ dan apa yang saya lihat komuniti Indonesia agak besar di Taipei ini selain dari Hong Kong. Masjidnya tidaklah terlalu besar namun cukup untuk memuatkan komuniti Islam di sini untuk beribadah terutamanya solat Jumaat.
Seterusnya kami Taipei 101 dan bercadang mahu menaiki observatory deck namun membatalkan hasrat kerana barisan terlalu panjang dan harga tiket skip the line nya hampir dua kali ganda harga tiket biasa. Memandangkan kami membawa Cik Diva kecik maka kami rasa tidak mampu menunggu lama untuk berbaris. Kami pulang dan turun di Taipei Main Station dan berjalan kaki menuju Ximending Shopping Street. Untuk makluman kedai-kedai di sini tutup lewat iaitu sekitar 1 pagi. Mereka panggil night market tapi bukan night market macam kat Malaysia yang penuh dengan stall sebaliknya kedai-kedai biasa dibuka sampai tengah malam termasuklah kedai make up, restoren, kedai menjual bobba drink, kedai cenderahati dan sebagainya.
Di sini terdapat satu kedai kecil yang menjual kebab halal iaitu Halal's Khan Shawerma. Tiada kerusi dan meja disediakan melainkan kerusi lipat yang perlu dilipat kembali apabila polis datang dan minta tiada sebarang halangan di laluan walaupun laluan tepi sahaja. Kebab kat situ tidaklah terlalu sedap namun cukuplah untuk mengalas perut yang tengah kelaparan. Anakanda juga tengah sedap tidur apalagi seronok juga kami makan sambil berbual dengan pemilik kedai kebab tersebut. Meriah betul area Ximending ini rasa bagaikan di Myeongdong Street di Korea. Orang ramai bagaikan berpesta, beratur panjang untuk membeli bobba drink dan ada persembahan jalanan juga di sini. Kami membeli beberapa helai t-shirt di kedai cenderahati di sini. Selepas penat berjalan, kami pulang ke hotel dengan berjalan kaki dan mndapatkan rehat yang cukup kerana telah berjanji dengan Eric untuk ke Yilan keesokan harinya.
|
Singgah beli Bobba drink..sedap
|
|
Siap sediakan tempat untuk selfie
|
|
Beratur panjang beli bobba drink rasanya..must be delicious..sebab ramai orang nak beli
|
|
Shawarma Kebab
|
Ulasan
Catat Ulasan